FEBRUARI 2022

Sektor Swasta Bantu Bangunkan PCDS 2030


KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mahu sektor swasta memain peranan dalam menambah nilai inisiatif kerajaan untuk membangunkan ekonomi negeri ini dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).

Beliau berkata, ekonomi Sarawak tidak akan berkembang tanpa sokongan sektor swasta sungguhpun kerajaan berjaya melaksanakan projek di bawah PCDS 2030.

“Hakikatnya kerajaan telah menyusun semula kementerian-kementerian dengan matlamat fokus kepada bidang yang diutamakan dalam PCDS 2030,” katanya pada majlis pelancaran Tindakan dan Pelan Pelaksanaan PCDS 2030 Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak di sini.

Menurut Abang Johari, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Sarawak memperuntukkan RM63 bilion untuk melaksanakan inisiatif yang mengutamakan rakyat di bawah fasa satu PCDS 2030.

“Jumlah peruntukan itu lebih besar daripada peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan projek Persekutuan di negeri ini,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu mempunyai pelan lebih cekap supaya dapat menyiapkan projek berkenaan berdasarkan peruntukan, masa dan spesifikasi.

Kebanyakan projek lewat daripada jadual disebabkan pengurusan yang kurang baik dan ini menyekatkan rakyat daripada menikmati projek yang dibina, katanya.

Pelan Tindakan dan Pelaksanaan adalah satu cara inovatif bagi negeri ini untuk memastikan inisiatif kerajaan sejajar dengan matlamat PCDS 2030, tegas beliau dan yakin kerajaan mampu menjayakan matlamat pelan pembangunan itu kerana memiliki langkah yang jelas.

Abang Johari menegaskan, bergerak ke hadapan, kerajaan harus memberi keutamaan kepada pembangunan model perniagaan yang fokus kepada pencapaian nilai sumber semula jadi negeri.

Pembangunan industri hendaklah dirancang berdasarkan peluang huluannya serta pengeluaran dan pengeksportan berdasarkan sektor pertengahan dan hiliran, katanya dan menambah, kerajaan mempelawa sektor swasta dan konglomerat untuk bekerjasama menerokai peluang berkenaan.

Buat masa ini, 70 peratus bekalan LNG Malaysia adalah dari Sarawak tetapi hanya menggunakan kurang daripada lima peratus jumlah pengeluaran itu, kata Abang Johari.

Justeru katanya, ada keperluan untuk meningkatkan bekalan dan penggunaan tempatan bagi membangunkan bidang perindustrian di Sarawak dalam masa lima hingga 10 tahun akan datang.

Pada masa sama, katanya, Sarawak turut menerokai telaga minyak dan gas baharu di persisiran dan luar pantai untuk memastikan jumlah yang diperlukan bagi Sarawak terus membangun dalam bidang perindustrian

Sumber dari : Jiwa Bakti